Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,
Selamat Petang...
Terdetik di hati ingin berkongsi rasa dengan pembaca semua tentang kisah hati seorang wanita atau perempuan yang bercita-cita untuk menjadi seorang "MUSLIMAH".
...Dia dibesarkan dalam keluarga yang sederhana tetapi bagi dirinya, keluarga itu sangat bahagia. Membesarlah dia menjadi kanak-kanak perempuan seperti kanak-kanak yang lain. Dia punya kakak, dia punya abang. Sewaktu di bangku sekolah rendah, dia mempunyai perwatakan yang agak kasar tetapi dia masih ingat pesan ibu bapanya, hormat-menghormati mesti disemai dalam diri. Walaupun di sekolah dia berkelakuan agak kasar, suka berjalan seperti lelaki, berpakaian seperti lelaki. Katanya' "cool". Namun, dia ingat pesan ibunya, "kita perempuan ada batasnya", malah ibu bapanya juga mendidik dia supaya sentiasa berpakaian sopan. Dia masih kanak-kanak yang kadangkala terfikir akan masa hadapannya. Dia ingin sekali menceburi bidang kerjaya yang memerlukan lelaki berbanding wanita kerana dia sangat menggemari sesuatu yang mencabar. Dia ingin sekali menceburkan diri dalam bidang sukan yang digemari namun ada sesuatu yang membuatkan dia tidak berpeluang untuk itu. Walaupun begitu, dia masih gembira kerana dia berjaya, berjaya dalam erti kata untuk dirinya dan mampu membuatkan ibu bapanya bangga.
Menuju alam sekolah menengah, dipendekkan cerita, dia dimasukkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Di situ, banyak yang dipelajarinya walaupun banyak juga yang tidak difahaminya. Pada mulanya, dia sangat rimas memakai tudung labuh, panas, tak sesuai dengan wataknya! Ya, dia gemar berbaju kurung dan bertudung tetapi tidak berjilbab! Akhirnya, sedikit demi sedikit dia mampu menerima semua itu. "Alah bisa tegal biasa". Di sekolah berjilbab, di rumah hanya tudung bawal biasa. Itu normal bagi pelajar sekolah agama kerana bukan semua orang mempunyai latar belakang keluarga yang beragama, malah bagi dirinya cukuplah dia menutup aurat. Tambahan pula, berubah tak boleh mendadak katanya. Jadi, dia mula berazam untuk mengubah perilakunya menjadi lebih baik, jika sebelum ini kasar, perlahan-lahan dia ingin menjadi kurang kasar, nak ke lembut tu susah kot. Jika sebelum ini dia bermulut laser, "sound" orang sana-sini kalau tak puas hati, perlahan-lahan dia ingin membaiki tabiat dirinya.
...Ahh..dia sering keliru, "watak aku kasar, suara lantang, bertudung labuh? sesuai ke?. Namun, dengan tekad, ketika menginjak Tingkatan 3, dia mula berlatih memakai tudung labuh bukan jilbab! tp tudung bawal labuh. Dia berazam ingin mengubah diri dan perlahan-lahan berusaha mengajak adik-beradiknya juga ke arah yang lebih baik. Dia benar-benar ingin menjadi seorang muslimah. Indahnya andai dia mampu mengikut 100% syariat Allah. Jadi, dia menanam cita-cita untuk menyambung pengajian di peringkat universiti dalam bidang Syariah. Dia ingin mendalami Islam. Dia ingin mengkaji sejarah Islam. Namun, perancangan Allah lebih baik, lebih teliti, dan dia menyambung pengajian dalam bidang yang berbeza. Pada mulanya, dia terkilan tetapi akhirnya dia redha. Allah tahu yang terbaik untuk hambaNya.
Setelah menjadi pelajar universiti, dia berazam untuk mengikis sikap buruknya yang lalu dan ingin menjadi insan baru. Ya, dia panas baran, cepat marah, degil, keras kepala tetapi dia berusaha untuk tidak menjadi seperti itu. Di peringkat awal, dia nampak seolah-olah berjaya mengawal dirinya namun lama kelamaan sikap-sikap itu tidak hilang, malah hadir dalam hidupnya...Ya ALLAH,dia sedih, keliru, marah, benci dengan diri sendiri. Dia tak akan putus asa! Dia berusaha untuk menjadi insan yang mampu mengawal nafsu amarah, dengan akal dan iman yang ALLAH kurnia. Di universiti, dia ditemukan dengan sahabat-sahabat yang baik. Baginya, kita sebagai kawan harus saling melengkapi. Menerima lebih dan kurang seadanya.
Tetapi, tiada siapa yang tahu, walau dia nampak ceria, kadangkala sering marah sentiasa, hatinya sunyi. Sunyi mengenangkan diri ini jauh dari ILAHI. Sedih mengenangkan goyahnya IMAN di hati. Sering terfikir, bagaimana andai aku pergi dijemput ILAHI??? Sudahkah aku benar-benar menjadi "MUSLIMAH" yang taat kepada perintah Allah? Sudahkah aku berjaya membimbing ahli keluargaku?. Allau, setiap hari dalam fikirannya hanya itu. Dia seringkali menceritakan kisah hati kepada teman-temannya kerana dia bukan perahsia. Tetapi masih ada perkara yang tidak mampu terungkai dek lidah kerana itu semua kisah hatinya. Biar hati menjadi diari yang setia. Biar ALLAH menjadi pendengar rintihan hambaNya.
Dia tahu, untuk menjadi hamba ALLAH yang diredhai, "MENJAGA HUBUNGAN DENGAN ALLAH dan MENJAGA HUBUNGAN SESAMA MANUSIA" itu penting. Dapat dia rasakan, dia tidak memenuhi keduanya, kerana dia sering melukakan dan dia sering terleka. Dia sering melukakan hati ibu bapanya, dia sering melukakan hari sahabatnya. Di hatinya, sayang tinggi menggunung namun dia seorang yang tidak pandai menzahirkan rasa sayang.Ya ALLAH, pedihnya dalam hati. Katanya, mengapa sukar sekali untuk di istiqomah? Mengapa sukar sekali aku menjaga lidah?
Wahai manusia di luar sana, ya, dia bertudung labuh, tak bererti dia sempurna. Dia juga masih mencari rentak dalam hidupnya. Melawan nafsu mudanya. Dia masih berusaha menebalkan imannya.
Dia tak akan pernah mengalah. Dia akan berusaha untuk berubah. Biar dia berasa lelah dengan dugaan yang mencelah. Dalam fikirannya, hanya ada kedua ibu bapa dan ahli keluarganya. Dia yakin ALLAH Maha Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat.
Pembaca, sudikanlah mendoakan "dia" agar dia terus istiqomah dan tabah dalam perjalanan menuju syurga ILAHI. Agar dia tabah menempuh neraka dunia.
"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kedua ibu bapa kami, ahli keluarga kami, guru-guru kami, muslimin dan muslimat baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia."